Saturday, 27 October 2018

SAJAK : ERTI HIDUP BEBERTI


SAJAK : ERTI HIDUP BERERTI
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.

Maksud :
Rangkap 1:
Penyajak sentiasa kesunyian kerana malam yang dilalui begitu sepi. Bagi orang tua tersebut tiada sesiapa akan menziarahinya pada keesokan harinya dan keadaan itu akan berterusan.

Rangkap 2:
Penyajak membayangkan ketenangan hidup yang pernah dilaluinya pada usia muda. Pada usia tua, penyajak meluahkan rasa kecewa terhadap anak-anak yang kian melupakan ibu yang pernah mengandungkannya. Anak-anak tidak mahu bertanggungjawab menjaga ibu yang sudah tua sebaliknya menghantar dari rumah seorang anak ke rumah seorang anak yang tidak mahu menjaganya dengan lama. Hal ini menyebabkan penyajak berfikir tentang erti kehidupan sebagai ibu yang sebenar kerana dia tidak mempunyai tempat untuk mengadu  sakit.

Rangkap 3:
Penyajak berasa bahawa dirinya sebagai seorang ibu seolah-olah tidak bermakna kepada anak-anaknya. Namun, penyajak berdoa agar anak-anaknya diberi keinsafan atas kesilapan yang dilakukan oleh mereka agar tidak terus menjadi anak derhaka supaya duka dihatinya terubat. Penyajak sedar bahawa tiada yang kekal di dunia ini kecuali Tuhan.

TEMA DAN PERSOALAN
Tema sajak ini ialah kesunyian hidup warga tua yang berharap agar anak-anak akan datang menjenguknya dan menyayanginya. Hal ini dikatakan demikian kerana penulis berasa seih dan pilu serta kesunyian pada usia tua. Dia berharap agar anak-anak dapat melawatnya dan memberikan kasih sayang kepadanya sebagaimana dia menyayangi anak-anaknya sewaktu mereka kecil dulu.

Persoalan
(a) Kesunyian hidup pada usia tua.
(b) Kasih sayang ibu kepada anak.
(c) Pengorbanan ibu bapa terhadap anak.
(d) Nasib warga tua yang dipinggirkan oleh anak-anak
(e) Harapan ibu bapa kepada anak.
(f) Kesepian hidup sendirian pada usia tua.
(g) Penderitaan ibu bapa yang diabaikan.
(h) Hidup dan mati ketentuan Tuhan

NILAI MURNI
(a) Kasih sayang
(b) Ketabahan
(c) Ketaatan
(d) Berdikari
(e) Kesabaran
(f) Bertanggungjawab

PENGAJARAN
(a) Kita mestilah sayang akan ahli keluarga dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka dan menjaga ibu bapa sehingga hari tua mereka.
(b) Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dalam kehidupan demi mematangkan diri, terutamanya menghadapi usia yang tua.
(c) Kita haruslah taat kepada ibu bapa dan tidak melupakan mereka selepas berpindah dari rumah ibu bapa, malah sentiasa menjenguk mereka.
(d) Kita mestilah berdikari sewaktu hidup di bandar seorang diri supaya tidak terlalu bergantung pada orang lain, walaupun sewaktu tua.
(e) Kita mestilah sabar menghadapi apa-apa cabaran yang menimpa kita agar dapat menjadikan diri kita lebih kental.
(f) Kita haruslah menjadi anak yang bertanggungjawab dengan menjaga kebajikan ibu bapa dan menyejahterakan serta membahagiakan mereka.


~ GAN YONG LIAN

No comments:

Post a Comment

Pengenalan ShuNing

Name saya ialah Gan Shu Ning. Saya berumur 21 tahun dan berasal dari Petaling Jaya, KL. Saya ialah seorang pelajar seni kulinari di s...