Saturday, 27 October 2018

SAJAK : GELANGGANG

SAJAK : GELANGGANG
Ini gelanggang kita
yang diwariskan oleh pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.
Hari ini kitalah pewaris gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat menyatupadukan pelbagai
keturunan.
       
Para pendekar kita harus berani berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak membinasakan diri sendiri.
Marilah pahlawan setia kita kukuhkan ukhuwah
elakkan pertelingkahan sesama sendiri.
       
Kitalah pewaris abadi yang menjunjung amanah ini
agar kecemerlangan tercerna di persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke akhir hayat.


Rangkap 1:
Dengan kebijaksanaan nenek moyang kita kira-kira 50 tahun yang lampau, negara ini telah berjaya dimerdekakan. Hal ini disebabkan adanya persepakatan antara kaum di negara ini.

Rangkap 2:
Usaha memerdekakan negara memerlukan pengorbanan yang besar. Hal inilah yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sebelum ini. Generasi kini perlulah bersama-sama mempertahankan kemakmuran dan kedaulatan negara daripada ancaman luar yang ingin menggugat kestabilan negara. Kedaulatan negara akan dapat dikekalkan seandainya setiap kaum mengamalkan sikap bersatu padu dan bertoleransi.

Rangkap 3:
Demi negara tercinta, rakyat hendaklah berani berjuang mempertahankan maruah negara. Tidak ada sikap tolak ansur terhadap anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian negara. Sekiranya ada pihak yang cuba mengucar-ngacirkan negara, mereka perlu ditentang habis-habisan.

Rangkap 4:
Rakyat diseru agar mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan pertelingkahan sesama sendiri.

Rangkap 5:
Setiap orang perlu memikul tanggungjawab bagi mempertahankan kedaulatan negara. Perpaduan yang dipupuk itu akan menyebabkan negara kita menjadi aman dan seterusnya dihormati oleh negara lain. Sewajarnya, kita mencurahkan sepenuh ketaatan kepada negara tercinta ini sampai bila-bila.

Tema
Pentingnya mempertahankan kedaulatan tanah air kita yang tercinta. Contohnya, usaha dan perjuangan nenek moyang yang berusaha memerdekakan dan mendaulatkan tanah wajar dikenang.



PERSOALAN
1.         Perjuangan generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan
Contoh : Generasi dahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan negara dengan keringat dan air mata.

2.         Kepentingan perpaduan dalam menjaga keamanan negara
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.
     
3.         Tanggungjawab rakyat dalam mendaulatkan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

NILAI
1.  Nilai keberanian
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani berani berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

2.  Nilai perpaduan
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

3.  Nilai tanggungjawab
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.

PENGAJARAN
1.  Kita mestilah bersatu padu
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.

2.  Kita mestilah berani bertindak
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita harus berani  berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.

3.  Kita mestilah bertanggungjawab atas kedaulatan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab  daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.


~ GAN YONG LIAN

1 comment:

Pengenalan ShuNing

Name saya ialah Gan Shu Ning. Saya berumur 21 tahun dan berasal dari Petaling Jaya, KL. Saya ialah seorang pelajar seni kulinari di s...