SAJAK : GELANGGANG
Ini gelanggang kita
yang diwariskan oleh
pendekar-pendekar datuk moyang lebih
lima dekad yang lalu
satu persepakatan kaum untuk
diturunkan kepada anak cucu
di kemudian hari.
Hari ini kitalah pewaris
gelanggang yang terbina dari keringat
dan air mata
dengan gelanggang inilah negara
aman makmur rakyat
berpadu
kita pelihara gelanggang ini
dengan kejap sepenuh hati
kita mempertahankan kedaulatan
watan dari anasir jahat
kerana telah terbukti dapat
menyatupadukan pelbagai
keturunan.
Para pendekar kita harus berani
berjuang menangkis tohmahan
demi mempertahankan maruah
gelanggang keramat suci ini
suara-suara momokan sumbang
memperlekehkan menyentuh
hati nurani
kita sanggah nyah tanpa kompromi
dari menggugah
gelanggang
jangan sekali bermain api kelak
membinasakan diri sendiri.
Marilah pahlawan setia kita
kukuhkan ukhuwah
elakkan pertelingkahan sesama
sendiri.
Kitalah pewaris abadi yang
menjunjung amanah ini
agar kecemerlangan tercerna di
persada arena
terus memacu kejayaan demi maruah
harga jati diri
membina sebuah negara bangsa yang
harmoni dan dihormati
kita junjung dan taat hingga ke
akhir hayat.
Rangkap 1:
Dengan kebijaksanaan nenek moyang kita kira-kira 50 tahun
yang lampau, negara ini telah berjaya dimerdekakan. Hal ini disebabkan adanya
persepakatan antara kaum di negara ini.
Rangkap 2:
Usaha memerdekakan negara memerlukan pengorbanan yang besar.
Hal inilah yang telah dilakukan oleh nenek moyang kita sebelum ini. Generasi
kini perlulah bersama-sama mempertahankan kemakmuran dan kedaulatan negara
daripada ancaman luar yang ingin menggugat kestabilan negara. Kedaulatan negara
akan dapat dikekalkan seandainya setiap kaum mengamalkan sikap bersatu padu dan
bertoleransi.
Rangkap 3:
Demi negara tercinta, rakyat hendaklah berani berjuang
mempertahankan maruah negara. Tidak ada sikap tolak ansur terhadap
anasir-anasir yang cuba menggugat keharmonian negara. Sekiranya ada pihak yang
cuba mengucar-ngacirkan negara, mereka perlu ditentang habis-habisan.
Rangkap 4:
Rakyat diseru agar mengukuhkan perpaduan dan mengelakkan
pertelingkahan sesama sendiri.
Rangkap 5:
Setiap orang perlu memikul tanggungjawab bagi mempertahankan
kedaulatan negara. Perpaduan yang dipupuk itu akan menyebabkan negara kita
menjadi aman dan seterusnya dihormati oleh negara lain. Sewajarnya, kita
mencurahkan sepenuh ketaatan kepada negara tercinta ini sampai bila-bila.
Tema
Pentingnya mempertahankan kedaulatan tanah air kita yang
tercinta. Contohnya, usaha dan perjuangan nenek moyang yang berusaha
memerdekakan dan mendaulatkan tanah wajar dikenang.
PERSOALAN
1. Perjuangan
generasi dahulu dalam mendapatkan kemerdekaan
Contoh : Generasi dahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan
negara dengan keringat dan air mata.
2. Kepentingan
perpaduan dalam menjaga keamanan negara
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu
telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.
3.
Tanggungjawab rakyat dalam mendaulatkan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara
kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab
daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.
NILAI
1. Nilai keberanian
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita
harus berani berani berjuang untuk menangkis tohmahan pihak luar.
2. Nilai perpaduan
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu
telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.
3. Nilai
tanggungjawab
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya memelihara
kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab
daripada pihak luar yang cuba memusnahkan negara.
PENGAJARAN
1. Kita mestilah
bersatu padu
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa rakyat yang bersatu padu
telah terbukti dapat memelihara negara daripada ancaman luar.
2. Kita mestilah
berani bertindak
Contoh : Penyajak menyatakan bahawa pemimpin negara kita
harus berani berjuang untuk menangkis
tohmahan pihak luar.
3. Kita mestilah
bertanggungjawab atas kedaulatan negara
Contoh : Penyajak menyeru semua rakyat supaya
memelihara kedaulatan negara dengan penuh tanggungjawab daripada pihak luar yang cuba memusnahkan
negara.~ GAN YONG LIAN
Also help me
ReplyDelete