Penulis Melayu
yang pertama menulis puisi Melayu moden ialah Omar Mustaffa. Puisinya bertajuk
“Angan-angan dengan Gurindam’, disiarkan dalam Utusan Melayu, 18 Januari 1913.
Puisi ini dari segi bentuk dan isinya telah jauh menyimpang daripada puisi
Melayu tradisional – pantun dan syair terutamanya. Dari segi bentuk, susunan
baris, rangkap, dan rima akhirnya tidak terikat lagi dengan bentuk tradisional.
Dari segi isinya, mengungkapkan persoalan semasa pada waktu itu, iaitu
menyuarakan persoalan ekonomi dan politik.
Sejak tersiarnya puisi yang memperlihatkan pembaharuan
atau pemodenan pada bentuk dan isinya, berlaku semacam kekosongan dalam
penghasilan puisi moden. Hanya pada awal-awal tahun 1930-an, kegiatan menulis
puisi mula kelihatan jelas kembali. Ini berdasarkan puisi “O Sariku”, karya
Harun Aminurrasyid yang tersiar dalam majalah Pujangga Baru, Bil. 6, Disember
1933. Pada tahun 1934, Pungguk menghasilkan lima buah puisi sekali gus dan
disiarkan dalam Majalah Guru, Mac 1934. Judul puisi-puisi Pungguk itu ialah,
“Keluh Kesah”, “Selalu Merayu”, “Tak Disangka-sangka”, “Pujukan hati”, dan
“Ibuku”. Dalam kelima-lima buah puisi ini telah ditemui penyimpangan daripada
peraturan puisi-puisi Melayu tradisional yang ketat.
Sejak Harun Aminurrasyid dan Pungguk menghasilkan
puisi moden, puisi Melayu moden tumbuh dan berkembang dengan pesat sekali.
Pelbagai tema dan persoalan yang dikemukakan oleh para penyair yang bersesuaian
dengan zaman mereka dan harapan mereka tentang hidup dan kehidupan ini yang berkaitan
dengan hubungan sesama manusia, manusia dengan Pencipta, dan manusia dengan
alam. Hal ini akan lebih jelas terlihat apabila alur sejarah pertumbuhan dan
perkembangan puisi Melayu moden disusuri.
No comments:
Post a Comment